PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memohon maaf di atas kenyataan yang disiarkan dalam Facebook rasmi mereka berhubung kemenangan skuad negara ke atas Australia pada Kejuaraan Piala AFF Bawah 15 (B-15) di Chonburi, Thailand pada Khamis. Menurut FAM, mereka tiada niat untuk mengambil kredit atau ‘claim’ atas kejayaan skuad B-15 kebangsaan kendalian P. Maniam menewaskan Australia 3-0 pada aksi ketiga Kumpulan B sebagai hasil segera daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan pada 9 Julai lalu. “Apa yang cuba dimaksudkan dalam kenyataan itu sebenarnya adalah kejayaan tersebut serta prestasi baik skuad B-15 kebangsaan bermula dengan Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 Di Hong Kong, April lalu seterusnya muncul juara CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019 bulan lalu dan disusuli aksi baik pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 ketika ini menunjukkan yang mereka berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia itu. “Untuk makluman semua, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018. “Kami gembira melihat kerjasama ini telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan-pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar. “Di sini, FAM turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan juga pihak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang kerana tanpa sokongan dan usaha mereka selama ini, para pemain skuad B-15 kebangsaan ini tidak akan sampai ke tahap terbaik ini bagi meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan itu,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. Kenyataan asal yang disiarkan dalam Facebook rasmi FAM Khamis malam juga sudah dipadam. “Saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ ini, sebaliknya marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B bertemu Laos esok (Sabtu) dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk kita layak ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas final bagi menjuarai kejohanan ini,” tambah Stuart.