suria

Juara Piala FA mahu langkah kanan pada aksi pertama Piala Malaysia

Aidil (kanan) pening kepala untuk memilih pemain-pemain dalam skuad utama. Foto: Kedah FA

KETUA jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin menarik nafas lega apabila mampu menyenaraikan tonggak tengah, Renan Alvares ketika bertemu Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Sabtu malam pada perlawanan pertama musim Piala Malaysia 2019.

Renan tidak beraksi pada perlawanan akhir Piala FA minggu lalu kerana terpaksa menjalani hukuman digantung selepas dilayangkan kad merah ketika Kedah bertemu Felda United di Jengka pada perlawanan Liga Super.

“Saya memang rasa lega apabila Renan berada dalam kesebelasan utama yang akan beraksi di Paroi Sabtu ini dan kehadirannya sudah pasti mampu memantapkan kembali bahagian pertahanan.

“Gandingan Renan dengan Shakir Hamzah memang mantap kerana persefahaman mereka tentu dapat mengemudi bahagian pertahanan hingga membawa kita menduduki tangga ke empat  Liga Super dan layak ke final Piala FA musim ini.

“Perlawanan di Paroi adalah pembuka tirai Piala Malaysia musim ini dan sudah pasti kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong," katanya.

Menurut Aidil, kejayaan menjuarai Piala FA mampu menambah keyakinan barisan pemain Kedah untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

Katanya, mengumpul tiga mata penuh adalah sasaran utama walaupun akan beraksi di gelanggang lawan kerana prestasi pemain dalam keadaan baik.

“Walaupun berjaya mengalahkan Negeri Sembilan pada perlawanan ujian awal musim, ini tidak bermakna kami mampu melakukannya dengan mudah sekali lagi kerana pertemuan kali ini  sama sekali berlainan.

“Lawan kita sudah pasti tidak mahu kehilangan sebarang mata beraksi di depan ribuan peminat setia mereka dan seharusnya situasi ini membuka mata anak buah saya bagi mengandakan usaha untuk mencuri mata penuh.

“Tidak kira pemain muda atau yang sudah lama bersama Kedah, pengalaman yang diraih dapat  memastikan prestasi kita tidak pincang dan mampu mengikut segala perancangan yang ditetapkan,” kata Aidil.

Tambahnya, kehadiran peminat setia di Lembah Klang diharapkan untuk memenuhi ruang stadium di Paroi bagi membakar semangat barisan pemain Kedah.

 


Kedah, Paroi, Aidil, Piala Malaysia

Artikel Lain