PERMULAAN karier yang baik buat atlet Aisyah Farhana Azwan apabila berjaya menamatkan aksi separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Romania minggu lalu. Biar pun atlet muda berusia 19 tahun itu pulang tanpa sebarang pingat, tetapi ia merupakan satu permulaan baik dalam acara K1 1,000 meter yang disertainya. Menurut Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin, pencapaian itu membuktikan betapa dia antara prospek masa depan negara. "Ia satu pencapaian membanggakan kerana dia berjaya mara ke separuh akhir selepas terpaksa bertarung dengan 15 atlet untuk merebut tujuh slot ke separuh akhir. Aisyah atlet kanu remaja berbakat besar. "Kami akan terus memberi pendedahan kepadanya supaya boleh memperbaiki prestasi dan rankingnya. Lagipun dia antara atlet kanu wanita negara yang paling menyerlah ketika ini. "Jadi, saya tidak mahu melenyapkan momentum dia dan ingin memastikan terus dapat memperkasakan wanita dalam bidang sukan," katanya. Aisyah Farhana gagal mara ke final selepas sekadar memperoleh tempat terakhir daripada tujuh peserta di separuh akhir ketika hanya tiga peserta terbaik meneruskan kemaraan. Bagaimanapun, pendayung negara itu tetap boleh berbangga dengan pencapaian di Romania kerana berjaya melepasi halangan awal dan mengatasi beberapa pencabar Eropah. Sementara itu, Masca melalui minggu yang sibuk pada bulan ini apabila dua lagi atlet seniornya diterbangkan ke Szeged, Hungary bagi menghadapi Kejohanan Dunia yang dijadualkan bermula 17 Ogos ini. Dua atlet tersebut adalah Adam Aris dan Khairul Naim Zainal yang mana di sana mereka turut berpeluang menyertai Program Pencarian Bakat (TIP) bagi memberi pendedahan kepada atlet negara dalam mempelajari teknik kayuhan dan taktikal perlumbaan.