suria

Bekas kapten ragbi 7s All Blacks bakal buat penampilan istimewa di Karnival Ragbi Johor

So’oialo bakal membuat penampilan istimewa pada Karnival Ragbi Johor bermula Sabtu.

KOMPLEKS Sukan EduCity, Iskandar Puteri bakal menjadi medan pertemuan hampir 96 pasukan ragbi dari seluruh pelusuk negara bagi merebut empat kategori yang dipertandingkan Karnival Ragbi Johor 2019 selama dua hari bermula Sabtu.

Memasuki edisi yang ke-10, Kesatuan Ragbi Johor selaku penganjur mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Majlis Perbandaran Iskandar Puteri bagi menjadikan karnival mula dianjurkan sejak 2009 itu terus menjadi pentas mempromosi dan menyokong pembangunan ragbi khususnya di Johor.

Bagi aksi tahun ini, tiga kategori lelaki akan diperkenalkan mengikut peringkat umur iaitu Piala Iskandar Investment Bhd (bawah-16), Piala Datuk Bandar MBIP (bawah-14) dan Piala Milo (bawah-11) sementara untuk kategori perempuan pula, mereka akan bertarung untuk Piala Iskandar Investment Bhd (bawah-16).

Antara pasukan bakal berentap di Karnival Ragbi Johor 2019 adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (Johor), SMK Sains Hulu Selangor (Selangor), KL Saracens (Selangor), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sri Mersing (Johor), Akademi Ragbi Terengganu (Terengganu), Maktab Tentera Diraja (KL), SMK Sains Selangor (KL) dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor).

Sementara itu, Kejohanan Ragbi 7s Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) akan turut berlangsung bermula pada 22 hingga 25 Ogos di venue sama.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Noorazam Osman sangat teruja menyaksikan karnival ini berkembang dari sebuah kejohanan dalam negara sehingga menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa.

Beliau juga turut menegaskan kepentingan penganjuran kejohanan seperti ini untuk perkembangan sukan ragbi negara ini.

Mohd Norfazreim (kiri) bersama Noorazam.

“Karnival ragbi ini adalah yang terbesar di Malaysia dan ia akan membantu dari segi pembangunan sukan ragbi di negara kita.

“Sekiranya kita ingin berjaya di peringkat antarabangsa, kita amat memerlukan kelompok pemain besar untuk kita melatih mereka. Jadi, kejohanan seperti ini adalah amat sesuai untuk mereka mempamerkan bakat yang dimiliki dan ianya tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain-pemain yang berkualiti kelak," jelas Noorzam.

Pengarah kejohanan, Mohd Norfazreim Imran turut menyifatkan penganjuran tahun ini lebih teratur dengan penglibatan semua pihak.

“Penganjuran kali ini terbahagi kepada tiga padang yang berhampiran di kawasan Kompleks Sukan EduCity termasuk satu padang yang baru sahaja dibina oleh Iskandar Investment Berhad telah memudahkan proses penganjuran.

“Kesatuan Ragbi Malaysia juga membantu dari segi teknikal bagi kejohanan MAKSAK manakala Karnival Ragbi Johor akan dikendalikan pasukan teknikal Kesatuan Ragbi Johor yang berpengalaman di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sukan ragbi di Johor sedang rancak membangun khususnya di peringkat akar umbi apabila pasukan bawah-18 tahun mereka mengekalkan kejuaraan peringkat Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) buat tahun kedua.

Bagi memeriahkan lagi Karnival Ragbi Johor 2019, bekas kapten pasukan ragbi 7s All Blacks, Rodney So’oialo akan membuat penampilan istimewa di sekitar negeri Johor dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman luasnya khususnya kepada para peminat sukan ragbi.

So’oialo pernah membuat pernampilan sebanyak 62 kali bersama pasukan New Zealand akan meluangkan masa bersama dengan pasukan-pasukan yang bertanding selain sesi ramah mesra dan klinik kejurulatihan untuk pasukan ragbi negeri Johor sebagai persiapan menjelang Sykma 2020, Piala Agong dan MSSM.

Karnival ragbi, Johor

Artikel Lain