suria

Masca sah hanya hantar seorang atlet acara pecut ke Sukan SEA

Megat Shahriman masih menilai sama ada mahu menghantar pasukan lumba bot tradisional.

PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) mengesahkan hanya akan menghantar seorang atlet pecut ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 dan dalam masa sama sedang menilai sama ada ingin menghantar atau tidak pasukan lumba bot tradisional (TBR).

Presiden Masca, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya perlu meneliti secara terperinci kos yang perlu dikeluarkan bagi penyertaan TBR kerana ia membabitkan pasukan yang besar.

"Setakat ini saya ingin maklumkan bahawa kita telah meluluskan seorang saja atlet ke Sukan SEA 2019 iaitu bagi acara kanu pecut.

"Bagi TBR kita sememangnya berminat tetapi dalam masa sama masih mencari tajaan untuk menghantar pasukan kerana ia menelan kos perbelanjaan yang besar" katanya.

Jelas Megat D.Shahriman lagi, pihaknya telah berhubung dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan meminta kelonggaran untuk menyerahkan senarai atlet sebelum 2 September.

"Berhubung situasi tersebut, selain telah mengesahkan kepada MOM nama atlet kanu pecut yang akan dihantar ke Sukan SEA, saya juga meminta kelonggaran bagi TBR.

"Masca perlukan masa untuk membuat keputusan menghantar atau tidak pasukan TBR tatkala penyertaan atlet dan nama perlu sampai ke penganjur Sukan SEA sebelum 2 September," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Buat masa ini, hanya Adam Aris muncul satu-satunya atlet kanu yang akan mengambil bahagian di temasya Sukan SEA dalam acara pecut MK1 1,000 meter (m).

Sebagai rekod, sukan kanu tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Kanu, Sukan SEA

Artikel Lain