MODEL warga Brazil yang menuduh bintang bola sepak, Neymar kerana merogol, membuat kenyataan palsu dan peras ugut. Najila Trindade memfailkan dakwaan rogol kepada polis Sao Paulo selepas pulang dari Paris pada Mei lalu, dengan mendakwa diserang bintang Paris St-Germain (PSG) itu dalam satu pertemuan. Seorang hakim menolak kes itu pada Ogos, dengan mengatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi. Susulan pengumuman itu, Neymar dalam kenyataan di laman sosial Instagram berkata: "Saya akan ikhlas dan saya tidak akan mengatakan saya gembira, tapi ya, saya lega." Bagaimanapun, pada Selasa, polis Sao Paulo memberitahu, mereka mendakwa model berkenaan kerana melakukan penipuan, mengeluarkan kenyataan fitnah dan peras ugut. Bekas temannya, Estivens Alves juga didakwa kerana mendedahkan kandungan erotik, yang kemudiannya disiarkan secara dalam talian. Neymar menafikan tuduhan rogol terhadap model warga Brazil itu. - Mail Online UK