ZLATAN Ibrahimovic mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya selepas membayangkan dia akan kembali ke Sepanyol. Nasib Ibrahimovic di LA Galaxy tidak menentu selepas pasukan mereka ditewaskan oleh pencabar, Los Angeles FC dalam perlawanan separuh akhir Western Conference, baru-baru ini. Pemain berusia 38 tahun itu memuat naik video di akaun Instagram miliknya pada Selasa, dengan membuat pendedahan bahawa dia akan kembali ke Sepanyol. Kali terakhir Ibrahimovic di Sepanyol sewaktu bersama pasukan Barcelona selama dua tahun dari 2009 hingga 2011. Menerusi video tersebut, dia berkata: "Hola Espana! Cuba teka? Saya akan kembali." Dengan jutaan pengikut di laman sosialnya, ramai menganggap penyerang veteran itu akan membuat kemunculan pada La Liga Sepanyol. Malah, lebih daripada itu dia mudah untuk kembali ke Eropah dengan beberapa penajanya. Pembabitan Ibrahimovic di Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kejayaannya menerusi jaringan sebanyak 52 gol dalam 57 perlawanan MLS. - Mail Online