MEMANG tidak dinafikan Manchester United adalah salah satu kelab bola sepak yang popular di planet ini. Populariti kelab ini makin mencanak apabila mencatatkan peningkatan jumlah peminat di seluruh dunia saban tahun selepas berada di bawah pengurusan Sir Alex Ferguson. Dengan jumlah peminat yang besar itu, amat penting bagi United untuk menjadi jenama global kerana majoriti peminat mereka berada di luar United Kingdom. Dan pastinya gergasi Liga Premier itu boleh menjana pendapatan daripada 'kegilaan' peminat mereka. Terbaru, kelab tersebut bakal tampil dengan t-shirt jersey yang bakal dikeluarkan sempena Tahun Baru Cina pada tahun hadapan, untuk menarik perhatian peminat mereka. Bagaimanapun, foto-foto rekaan t-shirt jersey itu 'terbocor' di dalam talian. Ia adalah kemeja leher berbentuk V berwarna merah - warna yang melambangkan nasib bertuah dan kegembiraan di China - dan mempunyai corak naga yang menarik perhatian, dengan lencana United di bawah logo Adidas. Adidas sebelum ini telah menyediakan koleksi Tahun Baru Cina untuk pelbagai kelab Eropah termasuk Arsenal, Bayern Munich, Juventus dan Real Madrid. - Dailymail