LIONEL Messi telah dipanggil semula untuk memperkuat skuad kebangsaan Argentina dalam perlawanan persahabatan menentang Brazil dan Uruguay selepas menamatkan tempoh penggantungannya selama tiga bulan, kata Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) pada Khamis. Agensi Berita China Xinhua melaporkan bahawa penyerang Barcelona berusia 32 tahun itu tidak beraksi untuk skuad negaranya selepas dia dibuang padang ketika pasukan Albiceleste menewaskan Chile 2-1 dalam Kejohanan Copa Amerika bagi penentuan tempat ketiga pada Julai. Beliau kemudian digantung dan didenda US$50,000 oleh badan pentadbir bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL kerana mendakwa Copa Amerika “korup”. Messi terlepas empat perlawanan untuk Argentina semasa penggantungan yang menyaksikan keputusan seri 0-0 dengan Chile, menewaskan Mexico 4-0, seri 2-2 dengan Jerman dan menang 6-1 ke atas Ecuador. Pemenang dua kali Piala Dunia, Argentina akan bertemu Brazil di Arab Saudi pada 15 Nov dan Uruguay di Israel tiga hari selepas itu. - BERNAMA