suria

Beberapa acara Sukan SEA ditunda akibat taufan Kimmuri

Taufan Kimmuri atau turut dikenali Tisoy melanda beberapa bahagian Filipina sejak Isnin.

BEBERAPA acara sukan pada temasya Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di dua kluster iaitu Subic dan Clark terpaksa ditunda ke tarikh baharu susulan Taufan Kimmuri mula membadai negara itu.

Pengarah Sukan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Karen Claire Caballero, dalam kenyataan malam ini, berkata, antara jenis sukan yang dipinda ke tarikh baharu ialah bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentatlon dan luncur angin.Acara bola tampar pantai di tunda kepada Rabu hingga Jumaat, kanu-kayak (Jumaat-Ahad), Muay Thai, Mai-Waikru (Rabu-Khamis) dan acara seni mempertahankan diri akan bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Karen berkata semua acara kapal layar di Subic Bay, yang bermula hari ini hingga Rabu telah dibatalkan dan akan disambung semula Khamis ini manakala acara pencak silat pada hari ini dan esok di Pusat Pameran dan Konvensyen Subic ditunda kepada Rabu hingga Jumaat ini.

Beliau berkata acara triatlon berpasukan campuran berganti-ganti pada awal pagi Selasa ditunda kepada jam 3.30 petang  manakala sesi pagi pentatlon Rabu ini ditunda kepada Khamis.

Beliau turut mengatakan acara luncur angin di Kelab Pelayaran Subic Selasa dibatalkan dan akan diadakan pada Rabu ini.

Bagaimanapun, enam lagi jenis sukan iaitu ping pong, sepak takraw, catur, mendayung, renang laut terbuka dan bola baling pantai akan diteruskan seperti dijadual.

Di kluster South Luzon dan La Union (SOLU), di luar pinggir bandaraya Manila, Karen berkata pertandingan papan selaju ditunda ke tarikh baharu dan acara hoki dalam air akan berlangsung seperti biasa tetapi perlu dihentikan sebelum jam 3 petang.

Menurutnya, acara berbasikal dan hoki dalam dewan tidak terjejas dan berlangsung seperti dijadualkan.

Menurut laporan antarabangsa, sekurang-kurang seorang terbunuh manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino digantung ketika Taufan Kammuri, yang juga dikenali sebagai taufan Tisoy oleh penduduk tempatan, semakin mendekati pulau utama Luzon. -Bernama

Sukan SEA, taufan Kimmuri, tunda

Artikel Lain