LEGENDA Manchester United Paul Parker dapat merasakan Paul Pogba tidak mahu lagi bersama pasukan itu. Malah dia berpendapat kelab itu memerlukan pemain yang komited dan sanggup melakukan apa sahaja untuk pasukan. Pemain berusia 26 tahun itu yang kembali ke United pada 2016 gagal mempamerkan prestasi sebenarnya. Malah dia kini bergelut dengan masalah kecederaan kaki. Parker yang beraksi bersama United antara 1991 dan 1996 tampil mempertikaikan komitmen Pogba terhadap kelab. Malah Parker percaya karier Pogba di Old Trafford sudah sampai ke penghujungnya. "Saya tidak fikir dia akan kekal lama di sini. Saya lihat dia seperti tidak gembira. "Dengan situasi semasa di United, kami memerlukan pemain yang sanggup melakukan apa saja untuk pasukan, penyokong dan juga kelab," kata Parker. Pogba tidak beraksi sejak 30 September lalu akibat kecederaan kaki dan terlepas 13 perlawanan. Ketika ini Pogba terus dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid tahun depan manakala Juventus turut berminat untuk mendapatkan semula khidmatnya. - Goal.com