JUARA Shah Liga Amatur, Klasiko FC seperti seakan tidak percaya mereka mampu meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas juara Liga Super Kuala Lumpur, CCCP FC pada pusingan pertama play off kelayakan ke Liga M3. Bukan sahaja menjadi pasukan meraih kemenangan terbesar di pusingan awal namun keputusan itu dianggap mengejutkan memandangkan pasukan lawan dibarisi ramai bekas pemain Kuala Lumpur yang bersaing di pentas Liga Super musim ini. Jelas pemilik Klasiko FC, Khairil Anuar, mereka pada mulanya hanya mahu memberikan saingan kepada lawan selepas mengetahui senarai pemain yang menguatkan CCCP FC sepanjang pusingan kelayakan ini. “Kami sememangnya tidak menjangka mampu meraih kemenangan sebesar ini kerana pada mulanya kami hanya yakin boleh beri saingan kerana menghormati lawan yang mempunyai pemain-pemain dari Liga Super. “Semua pemain bermain seperti biasa yang kami arahkan dan mereka tampilkan aksi terbaik yang mereka pernah ada, jadi kemenangan ini saya anggap sebagai simbol kemenangan kepada pasukan-pasukan amatur. “Harap kemenangan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk melangkah lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir. “Selepas ini, kami akan lalui satu lagi ujian sukar iaitu bertemu KSR Sains yang nampak ada kualiti tersendiri selepas menundukkan satu lagi lawan yang kuat iaitu Kuatagh FC, dengan kemenangan besar 4-1,” katanya. Klasiko FC memecah kebuntuan menerusi Amir Safuan pada minit-26 diikuti Jamil Garba pada m-35 untuk meletakkan Klasiko mendahului 2-0 sebelum berakhir babak pertama. Sebaik empat minit separuh masa kedua bermula, Ammar Annuwar menambah jaringan ketiga buat Klasiko sebelum Jamil Garba sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada m-82 untuk kemenangan mutlak 4-0 milik Klasiko. Dalam pada itu, penolong jurulatih CCCP FC, Mohd Ivan Yusoff mengakui sebahagian besar pemain CCCP FC berdepan sedikit masalah kecergasan ekoran kebanyakan bekas pemain Liga Super yang dipanggil sudah lama tidak menjalani latihan selepas musim Liga Malaysia berakhir. Justeru, perkara itu memberikan kesan keseluruhan kepada persembahan CCCP FC yang gagal memberikan banyak ancaman terutama di separuh masa kedua. “Kalau ikut perlawanan itu, di atas kertas sebenarnya kita boleh menang tetapi dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku dan kita tidak boleh jangka bila berdepan pasukan dari liga sosial ini. “Kebanyakan pemain ini memang sudah berehat sepenuhnya sebaik musim dah berakhir dan dipanggil saat akhir untuk membantu pasukan, jadi perkara itu sememangnya beri kesan serba sedikit kepada persembahan pasukan. “Kekalahan 4-0 ini memang sukar untuk kita terima namun selamat maju jaya kepada Klasiko untuk di pusingan seterusnya," katanya. Antara bekas pemain Kuala Lumpur yang turun memperkuatkan CCCP FC ialah Zaiful Abdul Hakim, Syazwan Syahlan, Hardee Shamsuri, Naim Nazmi Zainudin dan Arif Anwar.