KEMELUT yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhubung pemilihan tampuk kepimpinan baharu akhirnya ‘tamat’ apabila mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-22 berlangsung dengan lancar pada Sabtu. Dalam AGM majlis itu, jawatan presiden kini sah milik presiden Persatuan Kenu Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zahiruddin yang menang tanpa bertanding dan akan meneraju MPM bagi penggal 2019 hingga 2023. Megat Shahriman yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean di Filipina kini mahu memberi fokus kepada persiapan kontinjen negara ke temasya itu yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 Januari depan. ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu besarkan isu KLHA - Megat Shahriman “Alhamdulillah, mesyuarat berjalan dengan lancar, terima kasih kepada mantan-mantan presiden, timbalan presiden dan semua yang terlibat, sekarang tanggungjawab diberikan kepada jawatankuasa baharu akan terus menjalankan tugas mengikut janji dan prosedur supaya lebih telus dalam MPM ini. “Saya berharap pihak MSN, KBS dan semua boleh bekerjasama dengan kami secara baik dan yang paling penting adalah ahli gabungan, di mana kita akan melakukan pembaharuan bersama”, katanya kepada pemberita selepas AGM ke-22 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kg Pandan, Kuala Lumpur pada Sabtu. Menurut Megat, beliau sudah mempunyai perancangan dan sasaran MPM, namun perkara itu hanya diumumkan selepas dibincangkan bersama pucuk pimpinan baharu nanti. Ditanya mengenai statusnya dengan persatuan sukan lain, Megat Shahriman menjelaskan beliau bersedia untuk melepaskan jawatan tertinggi bagi memberi ruang kepada yang layak selepas tamat Sukan Para ASEAN Filipina, tahun depan. “Saya akan lepaskan persatuan yang lain tapi saya akan umumkan mungkin selepas Sukan Para Asean sebab sekarang saya mahu fokus kepada Para Games selaku CDM”, katanya. Mesyuarat yang berlangsung dua jam itu menyaksikan dua jawatan dipertandingkan iaitu naib presiden dan Setiausaha Agung manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan Dr S. Radha Krishnan menang tanpa bertanding. Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Muhd Iqbal Sulaiman menerima undian terbesar sebanyak 23 undi, diikuti Hafidzah Andul Khafidz dan K.M. Rajendran untuk mengisi tiga kerusi naib presiden serta Datuk R. Subramaniam menang jawatan Setiausaha Agung MPM mengatasi Irene Chang. Berikut senarai penuh jawatankuasa MPM penggal 2019-2023: Presiden : Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin Timbalan Presiden : Dr. S. Radha Krishnan Setiausaha Agung : Datuk R. Subramaniam Naib Presiden : Muhd Iqbal Sulaiman, Hafidzah Andul Khafidz, K.M. Rajendran Bendahari : S. Kumarusamy. - BERNAMA