SUKAN badminton di Malaysia perlu mengikut jejak langkah sukan bola sepak dan ragbi, yang memiliki program pembangunan akar umbi, susulan kemerosotan prestasi pemain negara di peringkat remaja. Perkara itu disokong legenda perseorangan badminton negara Rashid Sidek yang merasakan kewujudan program pembangunan seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) satu langkah tepat memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan jauh berbanding Thailand, Indonesia dan China yang telah mula menyinar di peringkat remaja. Namun katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menyediakan sejumlah peruntukan yang besar dan konsisten, sebelum program seumpama itu diwujudkan. “Dari pandangan peribadi saya, ya, memang kalau ikutkan, kita patut ada program seperti itu, kalau mempunyai bajet yang cukup. Kalau tanpa bajet memang sukar untuk kita lakukan,” katanya. Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu berkata demikian ketika ditanya keperluan sukan badminton di Malaysia memiliki program pembangunan akar umbi susulan kemerosotan prestasi Malaydia di peringkat remaja. Skuad remaja negara mencetuskan kebimbangan apabila pulang dengan tangan kosong dalam dua kejohanan utama tahun ini - Kejohanan Badminton Remaja Asia di China, Julai lepas dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Rusia, pada Oktober. Beliau yang kini ketua jurulatih kelab badminton Sports Affairs itu berkata, tugasnya adalah melatih dan membentuk pemain ke arah menjadi seorang juara, namun satu platform lebih tinggi diperlukan, bagi membolehkan para permain memperoleh pengalaman. “Untuk program seperti NFDP itu, semua kalau dalam badminton kita memang bergantung kepada program sedia ada BAM. Sebagai kelab, kita tambahan untuk dapatkan bakat-bakat baru dan melatih mereka jadi juara. “BAM boleh ambil pemain-pemain ini untuk diserap masuk ke dalam BAM. Kita tidak keberatan, kerana sebelum ini kita pernah buat macam itu,” tambahnya. - Bernama