suria

Pemain-pemain AMD bakal ada tanda harga sendiri

MSN akan meletakkan tanda harga, kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan meletakkan tanda harga, kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), untuk mewakili pasukan masing-masing pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun menegaskan, tanda harga itu bukan harga jualan pemain, sebaliknya insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan, yang mendidik dan membangunkan bakat baharu pemain bola sepak tempatan.

Katanya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) juga mempunyai skema, berhubung pemain yang dibentuk daripada program pembangunan bakat, dan tanda harga itu berkemungkinan dilaksana tahun hadapan.

"Sebelum ini mereka (kelab) lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain, tetapi kini ia perlu melalui akademi (AMD).

"Insentif ini seperti suatu bentuk pampasan bagi akademi, yang telah berusaha membangunkan pemain itu, dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu lain," katanya.

Ahmad Shapawi berkata MSN yang menguruskan projek pembangunan itu, percaya mekanisme baharu tersebut dapat membantu hasrat AMD melahirkan pemain berkebolehan yang berupaya mewakili negara dan kelab pada masa hadapan.

Berikutan ketetapan tersebut, pemain AMD tidak lagi boleh dipancing secara percuma oleh mana-mana kelab yang berminat, untuk mendapatkan khidmat mereka. - Bernama

AMD, Ahmad Shapawim MSN, Tanda Harga

Artikel Lain