PEMAIN badminton nombor satu dunia, Kento Momota, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas jurulatihnya, Allahyarham Izuan Ibrahim dan menyifatkan Allahyarham sebagai jurulatih terbaik yang pernah bekerja dengannya dalam kerjaya di arena badminton sejak di usia remaja lagi. Pemain dari Jepun berusia 25 tahun itu mendedahkan bahawa kegemilangan yang dikecapinya kini tidak akan mampu tercapai tanpa bimbingan daripada Allahyarham Izuan yang memainkan peranan penting dalam memupuk bakatnya ketika masih remaja. "Saya tidak akan berada di mana saya sekarang tanpa bantuan jurulatih Izuan Ibrahim. Saya berbesar hati dan bertuah menemui seseorang yang berjiwa murni seperti itu. Takziah yang paling tulus daripada saya. #RestInPower," kata Momota dalam ciapan terkininya di laman sosial Twitter pada Selasa. Izuan, 35, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu, Kelantan, Isnin malam, selepas dimasukkan ke hospital itu Khamis lepas. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu, kira-kira pukul 11 malam, Isnin. Sebelum ini, Izuan dilapor menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku di otaknya, yang menyebabkan dia mengalami pendarahan 'intracranial’ dan tidak sedarkan diri. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga orang cahaya mata.Bekas jurulatih Persatuan Badminton Perlis itu dijangka memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara, di sini, pada 1 Jan 2020, iaitu kira-kira lapan hari lagi. Allahyarham Izuan menjadi terkenal selepas Jepun muncul juara Piala Thomas pada 2014 kerana pernah menjadi jurulatih Momota ketika masih remaja. -Bernama