suria

Negeri Sembilan United sedia hadapi saingan Liga M4

Para delegasi NSFS19 bergambar selepas tamat upacara penutup.

SELEPAS dengan jayanya menganjurkan Simposium Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFS) 2019 baru-baru ini, Negeri Sembilan United FC (NUFC) bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan menyertai kejohanan kompetitif bertaraf Liga M4 di Negeri Sembilan iaitu Liga Piala Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Kehormat PBNS, Satwant Singh dalam ucapan penutup NSFS yang menyatakan hasrat Negeri Sembilan United untuk bertanding di dalam Liga Piala Presiden PBNS pada tahun depan.

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Timbalan Presiden NUFC, Syafiq Kamarullah berharap agar Negeri Sembilan United dapat diberi ruang untuk membantu PBNS dalam mempromosikan bola sepak di peringkat negeri selain bertanding secara kompetitif di dalam piramid bola sepak Malaysia.

“Semua sedia maklum mengenai proses untuk sesuatu pasukan bertanding di peringkat tertinggi bola sepak negara. Negeri Sembilan United bersedia untuk bermula dari bawah dan ini juga sebahagian daripada perancangan jangka panjang kami. Kami ingin bergerak dari peringkat amatur dan akhirnya ke peringkat profesional," ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa akan menjadikan Seremban sebagai gelanggang utama.

“Sama seperti pasukan Negeri Sembilan yang bertanding di Liga Premier Malaysia, kami juga akan menjadikan Seremban sebagai gelanggang utama kami. Beberapa siri perbincangan dengan pihak kerajaan tempatan, swasta dan komuniti di sini sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kami mendapat sokongan yang secukupnya”, ujarnya.

Syafiq turut berkongsi bahawa dua jenama tempatan, Kaki Jersi dan Kicka telah bersetuju untuk menjadi rakan teknikal kelab dalam membantu persiapan kelab mengharungi musim hadapan dan beberapa tahun akan datang.

Pada tahun ini, KSR Sains FC muncul juara bagi kejohanan itu yang diadakan pada Oktober lepas, sekaligus memenangi slot ’playoff’ tunggal Liga M3 di Negeri Sembilan.

Selain itu, Satwant juga memaklumkan kesediaan PBNS melakukan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam mempromosikan bola sepak di Negeri Sembilan selain berharap agar NSFS dapat diadakan pada setiap tahun.

Simposium yang berlangsung minggu lalu menampilkan pembentangan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo, Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Saad Ichalalene dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Unit Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Pekan Ramli bagi sesi pagi.

Manakala sesi petang pula dilengkapkan dengan pembentangan Pengarah Sportswork Group Sdn Bhd, Safirul Azli Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail.

Simposium Bola Sepak Negeri Sembilan anjuran Negeri Sembilan United merupakan program bola sepak tahunan berunsurkan ilmiah yang julung kali diadakan di Negeri Sembilan, dalam misi memberikan penerangan mengenai masa depan bola sepak negara di peringkat negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain