MOHAMMED Mahmoud atau lebih dikenali Jordan Boy teruja membuka tirai 2020 apabila bakal berdepan dengan idolanya pada aksi pertama ONE: A New Tomorrow. Pejuang Muay Thai berusia 23 tahun ini berkata, kedatangan tahun baharu ini begitu penting buatnya untuk menyempurnakan tugas penting dalam ONE Championship tahun ini. Jelas Jordan Boy, sebaik sahaja berakhir aksi Sukan SEA di Filipina bulan lalu, dia tidak mengambil masa panjang untuk kembali ke gelanggang. ARTIKEL BERKAITAN: Jordan Boy dipilih wakili Malaysia bagi aksi ONE:A New Era di Tokyo Pemenang pingat perak acara kickboxing ini juga memberitahu, cabaran yang pertama adalah menaikkan kembali berat badannya. "Pada Sukan SEA baru-baru ini saya tepaksa menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram daripada 70kg bagi acara tersebut. "Kembali dari Filipina saya berehat seminggu dan dalam tempoh itu 'kerja' saya adalah makan sahaja untuk naikkan kembali berat badan sebelum ke Bangkok minggu depan. Jordan Boy mensasarkan sekurang-kurangnya dua kemenangan tahun ini. "Kini saya sudah kembali menjalani latihan keras dan melakukan persediaan untuk aksi pertama saya dalam ONE Championship tahun ini," kongsinya kepada mStar. Dalam pada itu, Jordan Boy memberitahu, sasaran tahun ini adalah untuk mencatat sekurang-kurangnya dua kemenangan dalam ONE Championship bagi melayakkan diri dalam kategori utama perebutan tali pinggang. "Keseluruhan tahun ini ada tiga perlawanan dan saya akan cuba untuk mencatat kemenangan sekurang-kurangnya dua kali. Ini penting untuk memastikan kontrak saya akan terus disambung tahun depan. "Untuk aksi di Bangkok ini, saya akui ianya sangat sengit kerana lawan bukan calang-calang orang memandangkan dia seorang pejuang lagenda. "Sebenarnya Liam Harrison adalah idola saya. Pada mulanya apabila melihat nama dia memang rasa takut, tetapi saya menganggapnya sebagai cabaran dan pembelajaran untuk diri sendiri. "Berdepan dengannya merupakan satu pengalaman berharga buat saya untuk pergi jauh dalam bidang ini. Boleh kutip pengalaman baharu," jelasnya. Selain itu, ONE Championship yang merupakan penganjur sukan bela diri campuran terbesar di Asia turut mengumumkan rakan strategik terbaharu tahun ini. ONE Championship bakal menjalin kerjasama dengan beberapa jenama terbesar dunia termasuk Redbull, Hugo Boss, Harney Norman dan sebagainya sekaligus melebarkan lagi sayapnya dalam dunia seni bela diri campuran dan One ESports yang dilancarkan tahun lalu.