suria

“Tak pernah bayangkan patung lilin sendiri!” - Wow... Chong Wei atlet pertama negara diabadikan di Madame Tussauds Hong Kong

Chong Wei diberi penghormatan apabila patung lilinya bakal diabadikan di muzium lilin terkenal dunia, Maddame Tussauds di Hong Kong. Foto Facebook Madame Tussauds Hong Kong

BEKAS pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi atlet pertama Malaysia untuk diabadikan di muzium patung lilin terkenal dunia, Madame Tussauds di Hong Kong.

Pengiktirafan tersebut bakal menyaksikan Chong Wei membarisi kebanyakan bintang tersohor dunia di muzium itu.

Chong Wei juga rakyat Malaysia kedua selepas pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga diberi pengiktirafan patung lilin di Madame Tussauds Hong Kong.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata seorang jaguh! Chong Wei sebak umum persaraan... “Kesihatan saya lebih penting”

Berita gembira itu dikongsikan oleh Chong Wei menerusi laman sosial Facebooknya pada Rabu.

“Saya tidak pernah membayangkan patung lilin saya sendiri! Terima kasih Madame Tussauds Hong Kong di atas penghormatan ini.

“Saya amat berbesar hati untuk menjadi atlet Malaysia pertama menyertai senarai itu. Ia sudah tentu pengalaman pertama buat saya!” katanya.

Pasukan Madame Tussauds Hong Kong membuat ukuran pada Chong Wei.

Chong Wei turut berterima kasih kepada pasukan Madame Tussauds Hong Kong yang tekun membuat ukuran dan perincian padanya, yang merupakan sebahagian daripada pembuatan patung lilinnya.

Menurut Chong Wei, patung lilinnya bakal diperkenalkan pada suku kedua 2020.

Sementara itu, Madame Tussauds Hong Kong dalam kenyataannya di halaman Facebooknya pada Rabu mengesahkan patung lilin Chong Wei bakal diabadikan di muzium tersebut.

“Pemain badminton Malaysia, Datuk Wira Lee Chong Wei menyertai Madame Tussauds Hong Kong! Sejak pembabitanya pada 2000, beliau telah memenangi pelbagai pertandingan antarabangsa, menjadikannya sebagai pemain badminton Malaysia yang paling berjaya,” menurut kenyataan itu sambil menambah bakal berkongsi video eksklusif membabitkan bekas jaguh negara itu.

Pengumuman di halaman Facenook Madame Tussauds Hong Kong.

Dilaporkan, Ketua Pemasaran Madame Tussauds Hong Kong, Bobo Yu berkata, beliau berharap patung Chong Wei pada pusat pameran akan menarik lebih ramai peminat sukan dari seluruh dunia.

“Kami berbesar hati untuk mempunyai atlet cemerlang menyertai kami. Kami berharap ia akan menarik kunjungan peminat sukan dari Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.

Selain memenangi banyak kejohanan dunia, Chong Wei pernah bertakhta di kedudukan nombor satu dunia selama 349 minggu.

Madame Tussauds mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh seperti Hollywood, New York, London, Amsterdam, Sydney, Tokyo, Shanghai dan Singapura.

Artikel Lain