JURULATIH Liverpool, Jurgen Klopp tidak pernah menjangkakan pasukannya mampu menyamai rekod 18 kemenangan liga berturut-turut yang pernah dilakukan oleh Manchester City pada tahun 2017. Kali terakhir skuad The Reds tidak memungut mata penuh adalah ketika bertemu seteru utama, Manchester United pada 20 Oktober 2019. Ujar Klopp, dia telah memberitahu anak buahnya untuk mencipta sejarah tersendiri pada awal musim. "Mereka mengambil serius perkara tersebut dan menunjukkan semangat tersebut di atas padang. "Ianya sangat istimewa. Meskipun sukar, prestasi mereka sangat menakjubkan dan sentiasa bersedia untuk mengharungi perlawanan seterusnya," jelas Klopp. Liverpool dipaksa berhempas pulas sebelum menang 3-2 ketika menentang West Ham pada awal pagi Selasa. FOTO: AP Kemenangan ke atas West Ham awal pagi Selasa membangkitkan lagi semangat pemain Liverpool yang hanya memerlukan empat kemenangan lagi untuk muncul juara. Liverpool kini mendahului Manchester City dengan 22 mata. "Kami perlu terus konsisten untuk mengharungi baki 11 perlawanan ini. Saya tidak pernah menjangkakan perkara ini akan berlaku dan saya akui kejayaan yang diperoleh ini adalah sangat sukar," ujar Klopp. Liverpool menewaskan West Ham 3-2 di laman sendiri pada awal pagi Selasa hasil jaringan Georginio Wijnaldum, Mohamed Salah dan Sadio Mané. - BBC Sport