suria

Covid-19: Aksi MotoGP di Qatar batal, Moto2 dan Moto3 diteruskan

MotoGP yang di Doha hujung minggu ini dibatalkan bagi acara kelas MotoGP.

KELAS MotoGP di Qatar 2020, pada hujung minggu ini dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap wabak Covid-19, terutamanya dalam kalangan penunggang Itali yang akan bersaing dalam kelas utama.

Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai dengan persetujuan Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan juga Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berikutan kebimbangan terhadap wabak Covid-19 yang menyebabkan penguatkuasaan sekatan perjalanan di Qatar.

"Setakat hari ini, semua penumpang tiba di Doha dengan penerbangan terus dari Itali, atau berada di Itali dalam dua minggu lepas, akan dikenakan kuarantin sekurang-kurangnya 14 hari.

"Itali jelas memainkan peranan penting dalam kejohanan dan kelas MotoGP - sama ada di litar mahupun di luar litar, oleh itu keputusan telah diambil untuk membatalkan persaingan kelas utama," menurut kenyataan itu.

Dorna Sports bagaimanpun memaklumkan bahawa perlumbaan lain termasuk kelas Moto2 dan Moto3, akan diteruskan seperti biasa memandangkan penunggangnya telah berada di ibu kota Qatar, awal minggu ini untuk ujian rasmi tiga hari di Litar Antarabangsa Losail.

Perlumbaan kelas Moto2 dan Moto3 juga akan diadakan bagi pembuka musim yang dijadualkan pada 6 hingga 8 Mac, begitu juga dengan Idemitsu Asia Talent Cup, yang akan mempunyai dua perlumbaan.

Menurut laporan berita antarabangsa, pihak berkuasa Itali telah mengesahkan lima lagi orang meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian kepada 34 orang akibat wabak Covid-19.

Ketua Agensi Perlindungan Awam Itali, Angelo Borrelli dilaporkan berkata jumlah orang yang dijangkiti virus itu di negara berkenaan meningkat 50 peratus kepada 1.694 hanya dalam 24 jam. -Bernama

MotoGP, 2020, Qatar, Covid-19

Artikel Lain