suria

"Tak perlu salahkan Adrian" - Klopp bersuara selepas tewas kepada Atletico Madrid

Penyokong Liverpool berang dengan kesilapan yang dilakukan Adrian yang menjadi punca kekalahan Liverpool. Foto: REUTERS

JURGEN Klopp mengakui gol pertama berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Adrian, namun Klopp enggan menyalahkan penjaga gol berusia 33 tahun itu yang menyebabkan Liverpool tersingkir.

Juara bertahan itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah di pusingan 16 selepas dimalukan 2-3 oleh Atletico Madrid di hadapan penyokong sendiri pada awal pagi Khamis.

Gol pendahuluan yang dijaringkan oleh Georginio Wijnaldum berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Roberto Firmino menggandakan kedudukan buat The Reds selepas berjaya menembusi gawang gol empat minit selepas masa tambahan bermula.

Mimpi ngeri Liverpool bermula setelah kecuaian Adrian menyebabkan Marcus Llorente menjaringkan gol pertama buat Atletico.

Llorente kemudiannya cemerlang menjaringkan gol kedua sebelum membuat hantaran cantik kepada Alvaro Morata untuk gol ketiga.

Pemain gantian, Marcos Llorente menjadi wira Atletico Madrid apabila menjaringkan dua gol ketika bertemu Liverpool. Foto: REUTERS

Klopp yang kecewa dengan keputusan tersebut berkata mereka mampu layak ke pusingan seterusnya sekiranya Adrian tidak membuat kesilapan.

"Penyokong yang hadir pastinya teruja dengan corak permainan pada 90 minit kerana kami beraksi dengan baik.

"Kami terlalu lewat untuk menjaringkan gol kedua tetapi saya menyukai persembahan yang kami tonjolkan kerana berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan mereka.

"Saya menggemari corak permainannya (Adrian) tetapi dia telah membuat keputusan yang tidak tepat sekaligus memberi peluang untuk pihak lawan menjaringkan gol.

"Kami tidak menyalahkannya, dia (Adrian) sendiri tahu yang dia telah melakukan kesilapan," ujar Klopp.

Klopp enggan menyalahkan Adrian sebagai punca Liverpool tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah. Foto: REUTERS

Meskipun Liverpool melakukan 34 percubaan ke arah gol, mereka gagal untuk melepasi penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson memberitahu mereka gagal menyempurnakan peluang demi peluang di samping memuji penjaga gol lawan.

"Sebarang kesilapan akan memberi kesan dan kami sangat kecewa dengan keputusan perlawanan tersebut.

"Kami mencipta banyak peluang di hadapan gol namun gagal memanfaatkan peluang tersebut. Oblak juga menjadi halangan utama kami dalam perlawanan tersebut," beritahunya kepada BT Sport. - Goal.com

Liverpool, Klopp, Adrian, Atletico Madrid

Artikel Berikut

Artikel Lain