PENGURUS Liverpool Jurgen Klopp mengakui hubungan dengan semua pemain sangat penting. Dalam masa sama Klopp menegaskan dia adalah ‘bos’ dalam membuat setiap keputusan termasuk latihan. Pengendali dari Jerman itu mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pengurus paling berjaya sejak beberapa tahun ini di Merseyside. Ia termasuk kejayaan dalam menjulang trofi Liga Juara-Juara, Piala Super Uefa dan Kelab Piala Dunia untuk Liverpool. Klopp juga turut membawa The Reds berada di puncak Liga Perdana Inggeris dengan meninggalkan 25 mata daripada pencabar terdekat Manchester City. “Saya adalah bos. Saya yang akan beritahu siapa yang akan bermain, berlatih. Saya juga yang akan beritahu apa yang akan dilakukan ketika latihan dan saya buat semua keputusan,” jelas Klopp. Klopp juga memberitahu, dia akan menjelaskan kepada pemain-pemainnya mengenai keputusan yang dibuatnya itu. “Di antara keputusan, saya boleh menjadi sebagai kawan mereka. Saya adalah kawan kepada pemain-pemain, tetapi saya bukan kawan baik. “Saya bukan orang yang faham semua perkara, tetapi saya cuba,” katanya.-Onefootball