PAUL Pogba mendedahkan bahawa pengalaman ketika usia muda bermain bersama dua pemain bertaraf bintang sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainannya. Ketika beraksi di akademi Manchester United, juara Piala Dunia 2018 itu sempat bermain bersama-sama Paul Scholes. Pada 2012 pula, Pogba berpeluang untuk bergandingan dengan bintang Itali, Andrea Pirlo di Juventus. Pogba yang sehingga kini telah membuat 150 penampilan buat Manchester United memberitahu bahawa dia meninggalkan kelab tersebut pada 2012 disebabkan tidak mendapat tempat di bawah kendalian Sir Alex Ferguson. Walau bagaimanapun, Pogba percaya pengalaman bermain bersama dua pemain handalan tersebut telah mempengaruhi corak permainannya. "Pirlo dan Scholes merupakan pemain yang akan mengawal permainan, dan saya banyak belajar daripada mereka. "Semasa sesi latihan, saya sendiri kagum melihat cara mereka berlatih dan perkara ini membuatkan saya ingin bermain sebagus mereka," ujar Pogba ketika ditemu ramah. Sama seperti Scholes, Pogba pada mulanya bermain di posisi penyerang sebelum ditukarkan kepada pemain tengah disebabkan gaya permainannya yang suka memegang bola lebih lama. "Saya bermula sebagai penyerang berjersi no.10 dan terlalu kerap turun ke bawah untuk mendapatkan bola menyebabkan posisi saya bertukar kepada no.6. "Nasib baik saya tidak ditukarkan menjadi pemain pertahan tengah," ujarnya. Terdahulu, desas-desus kuat mengatakan bahawa Pogba bakal kembali semula ke Juventus selepas tidak sehaluan dengan jurulatih, Ole Gunnar Solskjaer. - The Sun