TRENT Alexander-Arnold masih menyarung jersi Liverpool dengan nombor 66 di belakangnya kerana dia tidak terlalu teruja untuk menukar nombor tersebut, menurut kit man kelab itu. Sama seperti pemain akademi yang lain, Alexander-Arnold diberikan nombor jersi yang besar berbanding pemain kesebelasan utama yang memilih nombor tradisional 1 hingga 11. Meskipun menjadi pemain utama Liverpool dan England, dia masih mengekalkan nombor 66 tersebut.Lee Radcliffe, kit man Liverpool memberitahu agak janggal untuk melihat seorang pemain menjulang trofi bersama nombor 66 di belakangnya. "Pada mulanya, dia diberi peluang untuk memilih sendiri nombor jersinya dan hanya nombor besar yang dibenarkan. "Sehingga kini, dia tidak pernah untuk menukar nombor jersi yang dipilihnya itu."Nombor 66 kini dilihat sebagai ikonik dan lebih dekat dengan penyokong begitu juga staf kejurulatihan," ujar Radcliffe di laman rasmi Liverpool. Alexander-Arnold kini menjadi bualan penyokong dengan 125 penampilan bersama skuad utama serta membantu Liverpool muncul juara Liga Juara-Juara Eropah dengan sepakan penjuru kontroversinya ketika menentang Barcelona. Walau bagaimanapun, dia dilihat akan terus kekal menggunakan nombor tersebut meskipun layak untuk memakai nombor yang lebih kecil sebaris pemain-pemain bintang yang lain. - Goal.com