ARSENAL dilaporkan terpaksa menjual sehingga enam pemain pada musim panas ini bagi menampung dana perpindahan Nicolas Pepe yang dibeli secara ansuran pada musim panas lalu. Pepe yang dibeli dengan nilai £72 juta (RM386 juta) telah memecahkan rekod perpindahan Arsenal dengan menjadi pemain termahal. The Gunners mengejutkan banyak pihak dengan melakukan pembelian Pepe dengan kontrak selama lima tahun meskipun mempunyai dana yang terhad. Menurut Bleacher Report, seramai enam orang pemain mungkin ditunjukkan jalan keluar bagi menanggung yuran perpindahan Pepe. Laporan tersebut tidak mendedahkan nama pemain namun penyokong kelab yang berpengkalan di kota London itu sudah dapat menjangkakan beberapa pemain bintang tersebut. Sebelum ini, pemain Arsenal telah bersetuju untuk memotong gaji mereka sebanyak 12.5% termasuklah Mesut Ozil yang mempunyai pendapatan tertinggi iaitu sebanyak £350,000 (RM1.88 juta) seminggu. Sementara itu, masa hadapan Pierre-Emerick Aubameyang masih lagi tidak mendapat kata putus gara-gara penyerang itu masih tidak menandatangani kontrak baharu. Barcelona dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Gabon itu yang kontraknya berbaki setahun bersama Arsenal. - Daily Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!