suria

Liverpool FC mengutuk keras insiden keganasan ketika penyokong raikan The Reds raih gelaran juara EPL

Kelihatan timbunan sampah sarap yang ditinggalkan oleh penyokong The Reds selepas meraikan kemenangan pasukan mereka. Foto: PA

DETIK bersejarah kelab Liverpool yang diisytiharkan sebagai juara EPL musim ini dicemari dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

Pada ketika penyokong meraikan kejayaan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu, puluhan individu dilaporkan tercedera.

Media tempatan melaporkan kira-kira 20 buah ambulans dihantar ke Royal Liver Building, Pier Head, lokasi di mana sebahagian besar penyokong The Reds meraikan momen kejayaan kelab kegemaran mereka.

Menerusi video yang dikongsikan di internet selepas malam kejadian, kelihatan juga lokasi berkenaan dipenuhi dengan sampah sarap seperti botol plastik, kadbod, dan juga tin minuman keras.

Liverpool FC mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama pagi Sabtu, Liverpool FC, Polis Merseyside dan Majlis Bandaraya Liverpool mengatakan bahawa mereka telah berusaha untuk 'secara konsisten mengingatkan orang ramai bahawa wilayah itu masih terjejas oleh pandemik Covid-19'.

Kenyataan itu menambah: "Beberapa ribu orang hadir di Pier Head pada Jumaat (26 Jun) dan ada yang memilih untuk mengabaikan penjarakkan sosial dan membahayakan keselamatan orang ramai. Bandar kita masih dalam krisis kesihatan awam dan tingkah laku ini sama sekali tidak dapat diterima."

Ini adalah kali pertama Liverpool merangkul gelaran juara sejak 30 tahun lalu, di mana kali terakhir The Reds memperoleh gelaran tersebut pada musim 1989-1990. - Metro.co.uk



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Liverpool FC, The Reds, keganasan, EPL

Artikel Lain