LUIS Suarez meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat memenangi gelaran juara EPL bersama Liverpool pada tahun 2014. Bintang Barcelona itu juga mendakwa dia sedih kerana sebilangan penyokong The Reds marah dan benci kepadanya kerana meraikan gol pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu. Ketika itu, Barcelona menentang Liverpool di mana Suarez menyumbat gol untuk pasukannya. Suarez dituduh tidak menghormati bekas kelab yang pernah disertainya sebelum ini. Suarez menghabiskan tiga tahun di Liverpool iaitu dari 2011 hingga 2014 sebelum berhijrah ke Sepanyol. "Pada tahun terakhir ketika saya bermain di Anfield, saya sangat sedih untuk penyokong (kerana Liverpool gagal juara). "Saya tahu ada penyokong Liverpool marah kepada saya kerana saya meraikan gol menentang Liverpool di sini di Camp Nou (musim lalu). Saya menerimanya dan saya harap mereka memahami keadaan saya. "Saya menjalani salah satu momen terbaik dalam hidup saya di sana dan saya harap penyokong tidak melupakan bagaimana aksi saya ketika menyarungkan jersi Liverpool. "Sekarang saya harap mereka sangat gembira dengan gelaran juara Liga Perdana tahun ini," kata Suarez kepada laman rasmi Liverpool. Liverpool minggu lalu dinobatkan sebagai juara EPL musim ini selepas kempunan meraih gelaran itu sejak 30 tahun lalu. - Mirror.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!