MESUT Ozil akhirnya membuka mulut dengan mengkritik kelabnya, Arsenal tentang dua perkara. Pertamanya isu pemotongan gaji pemain dan kedua adalah pendirian kelab tersebut dalam isu berkaitan etnik Uighur. Menerusi satu temubual eksklusif bersama The Athletic, bintang antarabangsa Jerman itu membidas Arsenal yang tidak menyokongnya ketika beliau bersuara secara peribadi tentang layanan China kepada etnik Uighur yang beragama Islam. Ozil menegaskan beliau adalah manusia yang sangat menekankan ekualiti dan kecewa apabila Arsenal tidak mahu dikaitkan dengan kenyataan yang dikeluarkannya. Lebih menghairankan, Arsenal adalah kelab EPL paling lantang memperjuangkan kempen Black Lives Matter yang menurut Ozil mirip kepada apa yang beliau perjuangkan untuk etnik Uighur. "Saya sudah banyak berjasa kepada Arsenal di dalam dan luar padang, jadi reaksi kelab sangat mengecewakan saya," katanya. Menyentuh soal pemotongan gaji pemain ketika krisis Covid-19, Ozil bertegas kerana merasakan Arsenal mengendalikan situasi itu dengan teruk termasuk membuang 55 staf mereka baru baru ini. "Sebagai pemain kita semua mahu menyumbang. Namun kita perlu tahu lebih banyak informasi dan banyak persoalan yang tak dijawab. "Saya pun OK untuk dipotong lebih besar daripada yang lain – jika itu perlu sehinggalah situasi bola sepak kembali pulih. Namun tiba tiba mereka mahu memotong gaji kami tanpa konsultansi yang lebih jelas. "Kami hanya diminta membuat keputusan. Ianya terlalu cepat untuk perkara sepenting ini. Dan tekanannya sangat tinggi," kata Ozil. Ujar bintang berusia 31 tahun ini, situasi itu tidak adil terutama sekali kepada para pemain muda. "Orang yang kenal saya tahu bagaimana pemurahnya saya untuk kebajikan. Setahu saya, ada pemain lain selain saya yang turut menolak pemotongan gaji tapi kenapa cuma nama saya yang keluar? "Saya rasa ada pihak yang mencuba selama dua tahun ini nak hancurkan nama saya, nak buat saya kecewa dan menghasut penyokong untuk menentang saya serta menggambarkan imej yang tak tepat," ujarnya lagi. - Caughtoffside.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!