CRISTIANO Ronaldo akan berentap dengan seteru tradisinya Lionel Messi buat kali pertama sejak perpindahan terakhir ke Turin dari Real Madrid dua tahun lalu. Juventus akan menentang Barcelona di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara setelah mereka digandingkan bersama dalam Kumpulan G dalam undian yang berlangsung di ibu pejabat Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) di Nyon, Switzerland pada Khamis. Sementara itu Manchester United sekali lagi akan bertemu Paris Saint Germain (PSG) selain berdepan laluan sukar apabila bakal bertemu semifinalis musim lalu, RB Leipzig dan Istanbul Basaksehir dalam aksi Kumpulan H. Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool turut berdepan dua lawan sukar iaitu Ajax dan Atalanta dalam Kumpulan D. Manchester City pula bakal bertemu Porto, Olympiacos dan Marseille dalam Kumpulan C. Chelsea pula diundi dalam Kumpulan E bersama juara Liga Europa, Sevilla, Krasnodar dan Rennes. Penyandang juara, Bayern Munich bakal menentang Atletico Madrid, Red Bull Salzburg dan juga Lokomotiv Moscow dalam Kumpulan A. - Goal.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!