DI SEBALIK senyuman Rabih Ataya ketika bertemu peminat skuad hijau kuning sebenarnya tersimpan pelbagai kisah hidup warga Lubnan ini sebelum bergelar pemain bola sepak profesional. Rabih Mohammad Ataya berusia 31 tahun adalah pemain import Kedah yang akan mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini dan akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan pembukaan bagi merebut Piala Sumbangsih. Berkongsi kisah hidupnya bersama mStar Online, Rabih Ataya memberitahu, semangatnya mula berkobar untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional apabila mendapat tunjuk ajar bekas pemain kebangsaan Palestin, Ibrahim Maras ketika umurnya baru mencecah 14 tahun. Rabih Ataya bernasib baik kerana cita-citanya mendapat sokongan keluarga dan pada usia awal remaja itu, anak kepada penjual daging lembu ini banyak mengisi masa membantu bapanya di samping berlatih untuk merealisasikan impiannya dalam bidang sukan yang diminatinya. "Hasil usaha dan semangat, saya dapat beraksi bersama kelab Ansari dan peluang itu membawa saya menyertai skuad remaja dan seterusnya pasukan kebangsaan Lubnan sehingga kini. "Sepanjang tempoh membina kerjaya ini, saya pernah melalui keperitan hidup ketika negara kami diserang Israel. Untuk memastikan cita-cita tercapai, saya berhijrah ke Iran dan menyertai kelab bola sepak Zob Ahan dari 2016 sehingga 2018," katanya. Ketika di Iran, Rabih Ataya mendapat peluang menimba pengalaman beraksi dalam saingan AFC Champions League menentang kelab bola sepak ternama di Asia seperti Al Ahli, Al Ain, Al Duhail. Bekas pemain UiTM FC itu kini menjalani kehidupan di Alor Setar, Kedah bersama isterinya Dima Basma selepas berkenalan selama enam bulan serta dua cahaya mata mereka, Christina dan Mohamad masing-masing berusia enam dan empat tahun. Bercerita lebih lanjut Rabih Ataya memberitahu, dia pernah dilamar oleh pasukan Terengganu dan juga JDT II tetapi ejennya menasihatinya supaya menerima tawaran pasukan Kedah yang memiliki sejarah tersendiri. "Saya pernah beraksi pada perlawanan bertemu Kedah tahun lalu dan aksi pemain pasukan ini telah menawan hati saya dan tidak lupa juga sokongan yang diberikan oleh peminat di Stadium UiTM, Shah Alam. "Gandingan barisan pemain muda serta berpengalaman dan pemain import seperti Kipre Tchetche, KPah Sherman dan Renan Alves memang memikat hati saya untuk berganding dengan mereka dan mencapai kejayaan pada musim ini. "Saya juga tertarik dengan perancangan Ketua Jurulatih Aidil Sharin yang berjaya membimbing pasukan Kedah musim lalu dan akan meneruskan misinya pada musim ini," jelasnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!