suria

Lilitan kapten Ronaldo dilelong bagi meraih dana biayai rawatan bayi hidap sakit saraf

Ronaldo bengang apabila jaringannya dinafikan pada aksi Portugal menentang Serbia minggu lalu dan mencampak lilitan kaptennya di padang. Foto: AFP

LILITAN kapten yang dibuang oleh Cristiano Ronaldo sewaktu aksi kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Serbia di Belgrade, Sabtu minggu lalu, kini dilelong bagi tujuan kebajikan.

Lilitan tersebut kini mencapai nilai lelongan tertinggi.

Ia dilelong demi meraih dana bagi membantu membiayai rawatan seorang bayi berusia enam bulan Gavril Djurdjevic berjumlah £2.1 juta (RM12.02 juta), yang menderita penyakit saraf, Spinal Muscular Atrophy (SMA).

Seorang pekerja stadium menemui lilitan yang dibuang selepas perlawanan tersebut, dan memutuskan untuk menyumbangkannya kepada badan amal Together for Life.

Djordje Vukicevic, anggota bomba yang dihantar ke stadium, mengambil lilitan berkenaan namun dia tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan sebelum menghantarnya kepada badan amal.

Dalam perlawanan Sabtu minggu lalu, kapten skuad Portugal itu mengamuk selepas jaringannya pada minit akhir permainan dinafikan sekaligus menyaksikan Portugal terikat 2-2 dengan Serbia.

Apa yang membuatkan Ronaldo bertambah kecewa adalah apabila tiada penggunaan teknologi jaringan gol (goal-line technology) pada aksi tersebut.

Ini sekaligus menyaksikan bintang Juventus itu menjerit kepada pembantu pengadil sebelum mencampak lilitan kapten dan terus meninggalkan padang. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain