suria

Dimana kedudukkan KDA FC? Aidil akui banyak kerja yang perlu dilakukan

Kpah Sherman antara watak utama KDA FC musim ini dan dijangka terus jadi sandaran buat Aidil.

DUA belas gol yang dijaringkan dalam empat perlawanan sepanjang Ogos bukan gambaran sebenar kekuatan dimiliki Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk cuba menempatkan di kedudukkan terbaik.

Walaupun pengendalinya, Aidil Sharin Sahak puas dengan pencapaian tiga kemenangan dalam empat aksi terakhir, ia bukan jaminan yang mata maksimum mampu dicapai pada baki saingan musim ini.

Jurulatih dari Singapura itu merasakan, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk soal pemilihan pemain memandangkan anak buahnya bakal berdepan jadual yang padat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah si cantik, atlet gimnastik dijangka jadi jutawan tak lama lagi... ramai peminat di TikTok

“Saya tidak boleh katakan kami telah selamat kerana masih ada lagi baki perlawanan yang perlu ditempuh dan kita tidak boleh lagi tercicir mata.

“Tetapi saya yakin dengan tahap keyakinan pemain-pemain saya yang sentiasa bersungguh-sungguh, cuma apabila ada beberapa kecederaan, itu yang memberi sedikit tekanan kepada kami,” katanya ketika dihubungi mStar.

Semalam, skuad Hijau Kuning itu memastikan kemenangan ke 11 musim ini selepas membelasah PJ City FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketika ini, KDA FC bersaing hebat dengan Terengganu untuk cuba merebut tempat kedua, ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) kini seakan sebelah kaki untuk menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Mengulas aksi ketika menentang PJ City FC, Aidil lega dan menghamburkan pujian terhadap pemain yang menunjukkan komitmen tinggi.

“Alhamdulillah kemenangan kali ketiga berturut-turut. Tahniah kepada semua pemain yang mengikuti perancangan kita dengan baik.

“Kita bekerja keras untuk datang ke sini dan PJ City juga merupakan lawan yang cukup kuat, tetapi kita perlu perbaiki lagi segala kelemahan untuk terus raih tiga mata dalam aksi akan datang.

“Sekarang semangat pemain saya cukup tinggi. Saya rasa ini yang membuatkan hubungan antara pemain lebih baik kerana kami sentiasa bersama dan ia hadir melalui semangat berpasukan seperti ini”, katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain