suria

Paralimpik Tokyo: Bonnie raih emas pertama Malaysia

Bonnie berjaya meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72kg. foto Bernama

DIKEMASKINI

ATLET paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, pada Sabtu.

Anak kelahiran Sarawak itu menyumbangkan emas dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg).

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaik 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg.

Bertempat di Tokyo International Forum, beliau melakukan aksi yang baik bermula dengan angkatan 217kg, 225kg, 228kg, sebelum percubaan keempat untuk memecahkan rekod dunia miliknya pada angkatan 231kg gagal.

Bonnie membanggakan Malaysia selepas memecahkan rekod dunia bagi kategori 72kg dengan angkatan 230kg di kejohanan Piala Dunia Para Powerlifting Fazza di Dubai, Jun lalu.

Dalam acara pada Sabtu, atlet dari Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan 191kg meraih pingat perak, manakala gangsa dimenangi Micky Yule, Great Britain dengan angkatan 182kg.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain