MALAYSIA meraih pingat emas ketiga apabila atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly memenangi acara lompat jauh lelaki T20 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Sabtu. Kekal sebagai juara bertahan, atlet kelahiran Perlis berusia 24 tahun itu mencatatkan lompatan terbaiknya pada lompatan kedua dengan jarak 7.45 meter (m). Walaupun lompatan keempatnya dibatalkan, Abdul Latif mencatatkan keputusan baik 7.26m bagi lompatan pertama, 7.45m (lompatan kedua), 7.24m (lompatan ketiga) dan 5.56 m (lompatan kelima). Abdul Latif yang juga pemegang rekod dunia dengan jarak 7.64m dan juga rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 m yang dicatatkannya pada Paralimpik Rio 2016 lalu, bagaimanapun menarik diri daripada meneruskan acara berkenaan pada lompatan keenam.Ia merupakan emas ketiga buat Malaysia pada temasya Paralimpik kali ini setelah atlet powerlifting, Bonnie Bunyai Gustin meraih emas pertama negara, 27 Ogos lalu dan Cheah Liek Hou menang pingat emas kedua bagi acara badminton perseorangan lelaki (SU5). -SINAR