SAMA-sama naik, sama-sama buru kejayaan! Mungkin ini perumpamaan sesuai untuk menggambarkan perjalanan dua pendatang baharu Liga Super, Penang dan Kuala Lumpur City yang berada dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia, bermula 25 September ini Selain Penang dan Kuala Lumpur City, Kumpulan A turut disertai Sri Pahang dan naib juara Liga Premier yang akan ditentukan pada aksi terakhir 21 September ini. Selepas cemerlang pada musim pertama di Liga Super, kedua-duanya seakan tidak boleh berpisah dan situasi ini menjadikan Kumpulan A sebagai kumpulan tumpuan. Penang mengejutkan pasukan besar lain apabila menamatkan Liga Super di tempat ketiga manakala Kuala Lumpur City cemerlang kekal rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan 'home' di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. “Penang melalui musim yang hebat dan pastinya ini adalah undian yang sukar. Sri Pahang juga makin meningkat. “Jadi saya harap saya dapat menurunkan skuad terbaik dalam aksi sebenar nanti,” kata pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak selepas kehilangan beberapa tonggak yang cedera pada aksi terakhir Liga Super menentang JDT, 12 September lalu. Undian lengkap Piala Malaysia Kumpulan B menyaksikan penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun sekali lagi menjadi sandaran buat juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor untuk cuba melepasi cabaran Terengganu, Perak dan pasukan tangga ketiga Liga Premier. Kumpulan C pula menyaksikan juara dan pasukan tangga kelima Liga Premier akan mencabar Melaka United dan juara lima kali Piala Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA FC). Sementara itu, juara bertahan, JDT dijangka tidak akan berdepan masalah untuk mara ke pusingan kalah mati apabila diundi bersama PJ City, Sabah dan pasukan tempat keempat Liga Premier dalam Kumpulan D. Edisi tahun lalu terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI