suria

Terpaksa pakai burqa larikan diri ke Pakistan

KHALIDA main peranan penting bantu rakan sepasukannya keluar dari Afghanistan. — AP

SEMENJAK Taliban menguasai Afghanistan pada Ogos, atlet sukan wanita negara itu terutamanya anggota pasukan bola sepak diselubungi keresahan kerana bimbang akan menjadi sasaran kumpulan militan itu.

Malahan ketua pasukan bola sepak wanita kebangsaan negara itu, Khalida Popal baru-baru ini menyuruh rakan-rakannya agar membakar jersi pasukan tersebut.

Namun, selepas meminta bantuan daripada pelbagai pihak untuk membantu mereka keluar dari negara itu, akhirnya sebahagian besar atlet bola sepak wanita Afghanistan berjaya melarikan diri ke Pakistan.

Mereka juga terpaksa menyembunyikan identiti masing-masing dengan memakai burqa.

Menurut Khalida, dia berasa lega dapat membantu rakan-rakannya keluar dari Afghanistan.

"Saya gembira mengumumkan dengan bantuan yang luar biasa, lebih 79 pemain bola sepak wanita dan anggota keluarga mereka keluar dari Afghanistan. Saya menerima banyak bantuan daripada Rokitfoundation," tulisnya di Twitter.

Memetik laporan media antarabangsa, kesemua mereka juga menerima bantuan daripada kerajaan dan persatuan bola sepak Pakistan.

"Kami menyambut kedatangan pasukan bola sepak wanita Afghanistan setelah mereka tiba di sempadan Torkham dari Afghanistan, mereka memiliki pasport yang sah dan visa Pakistan," kata Menteri Informasi Pakistan, Fawad Chaudary dalam satu kenyataan. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain