WAKTU rehat tandas yang lama serta masa perubatan di saat-saat kritikal boleh dilupakan dalam acara tenis lelaki, apabila ATP Tour merancang untuk mengenakan peraturan lebih ketat. Situasi ini telah lama menjadi masalah kepada pemain dan baru-baru ini di perlawanan Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang mana Stefanos Tsitsipas didakwa mempermainkan Andy Murray kerana berada di bilik mandi dalam tempoh lama ketika waktu kritikal dalam perlawanan pusingan pertama mereka. Bagaimanapun, pemain nombor tiga dunia dari Greek itu menafikan tuduhan itu, selain menegaskan bahawa dia tidak melanggar peraturan kerana tiada had masa untuk berehat di bilik mandi. “Akan ada perubahan pada peraturan untuk berehat di bilik mandi dan waktu tunggu perubatan di gelanggang. “Saya harap sebelum musim berikutnya pada Januari, kita akan mempunyai peraturan lebih ketat berkaitan masa rehat ke bilik mandi dan masa tunggu perubatan,” kata sumber. Sebelum ini, Murray yang berang terhadap Tsitsipas kerana berehat hampir lapan minit, berkata, gangguan itu memberi kesan kepada hasil perlawanan. Dalam perlawanan berikutnya, Tsitsipas berada di bilik persalinan selama lebih dari tujuh minit setelah tewas pada set ketiga, sebelum dikecam oleh penonton Stadium Arthur Ashe ketika kembali ke gelanggang perlawanan. Sementara itu, juara Terbuka A.S. Sloane Stephens, yang menggangotai majlis pemain WTA berkata, pemain yang berehat di bilik mandi adalah bersalah kerana cuba mempermainkan orang lain, selain meminta pihak atasan untuk mengubah peraturan. Jurucakap ATP yang tidak dinamakan berkata, perubahan peraturan mengenai masa rehat ke bilik mandi dan waktu perubatan masih dikaji dan masih dalam proses. Pada masa sama, juara nombor satu dunia, Novak Djokovic menyokong Tsitpisas kerana menganggap pemain Greek itu tidak bersalah. “Peraturannya tidak jelas. Sudah tentu anda boleh membantah kerana ia adalah relatif dan setiap orang melihatnya secara berbeza. “Ini adalah topik hangat pada beberapa minggu terakhir. Saya rasa dia tidak layak mendapat banyak kecaman dari semua orang,” katanya. — Reuters Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI