PEMAIN golf Amerik Syarikat (AS), Tiger Woods dilihat berjalan tanpa menggunakan topang ketiak buat pertama kali sejak terbabit dalam kemalangan kereta awal tahun ini. Legenda golf itu mengalami patah tulang dan beberapa kecederaan di kedua-dua kakinya setelah terbabit dalam nahas di Rancho Palos Verdes, California, AS pada Februari lalu. Dalam kejadian itu, kereta yang dipandunya merempuh pembahagi jalan dan sebatang pokok sebelum terbabas di lereng bukit. Setelah dikejarkan ke hospital, beliau menjalani pembedahan kerana kecederaan yang dialaminya. Beliau discaj dari hosital dan dibenarkan pulang ke rumah menggunakan topang ketiak, tiga minggu kemudian. Kini setelah lapan bulan kemalangan itu, Woods dilihat berjalan tanpa menggunakan tongkat ketiak. Beliau dikesan menerusi video yang diperoleh oleh TMZ Sports. Pemain golf berusia 45 tahun itu menyaksikan anaknya Charlies menyertai kejohanan golf junior di Port St.Lucie, Florida, pada Ahad dan dilihat berjalan-jalan dengan bebas. Penggunaan topang ketiak tidak kelihatan bagi membantunya untuk berjalan, meskipun beliau masih memakai pelindung pada kaki kanannya. - Daily Star