PEMAIN tenis ataupun atlet yang belum mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 berkemungkinan tidak akan mendapat visa untuk memasuki Australia, demikian kenyataan rasmi kerajaan negara berkenaan. Ini sekali gus menimbulkan pertanyaan mengenai penyertaan pemain nombor 1 dunia, Novak Djokovic untuk saingan Terbuka Australia, tahun depan. Djokovic enggan mendedahkan mengenai status vaksinasi dirinya, selain memberitahu dia belum pasti sama ada akan beraksi di Terbuka Australia atau sebaliknya memandangkan kerajaan negara berkenaan melaksanakan sekatan sedemikian. Ketua pemerintah Victoria, Dan Andrews berkata, beliau menjangkakan atlet yang tidak divaksin, tidak akan dibenarkan memasuki Australia. "Saya tak fikir pemain tenis yang belum divaksin akan dapat visa, dan jika dapat pun, berkemungkinan mereka kena jalani kuarantin berminggu-minggu. "Saya tidak fikir atlet yang dimaksudkan (Djokovic) atau pemain tenis lain yang belum divaksin akan diberi kebenaran untuk datang ke negara ini. "Virus tidak akan memilih ranking anda atau berapa banyak Grand Slam yang sudah dimenangi. Itu tak relevan. Anda perlu dapatkan suntikan untuk pastikan diri anda dan orang sekeliling selamat," kata Andrews. - Reuters Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI