TINDAKAN pantas dua pemain Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon dan Eric Dier berjaya menyelamatkan nyawa seorang penyokong Newcastle United yang dipercayai mengalami serangan jantung ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park sedang berlangsung pada Ahad lepas. Reguilon dilaporkan berlari meluru ke arah pengadil untuk memberitahu bahawa ada sesuatu yang berlaku di tempat duduk penonton. Eric Dier pula bergegas berlari ke tepi padang memanggil pegawai perubatan untuk memberikan rawatan secepat mungkin menggunakan defibrilator. Seorang petugas perubatan dari pasukan Newcastle berlari membawa alat defibrilator untuk membantu penyokong terbabit. Insiden cemas itu berlaku sewaktu aksi si separuh masa pertama ketika perlawanan berbaki lagi tujuh minit. Pengadil utama perlawanan, Andre Marriner kemudian memutuskan untuk menangguhkan perlawanan dan mengarahkan semua pemain berehat di bilik persalinan. Aksi separuh masa kedua kemudiannya bersambung semula seperti biasa. Penyokong itu digegaskan ke hospital berdekatan dan dilaporkan sudah sedar. Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-2 berpihak kepada Spurs. - Sky SportsDapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI