PENYERANG Barcelona dan Argentina, Sergio Aguero tidak dapat menahan air mata apabila dia mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada hari Rabu kerana sakit jantung. Dengan pengumuman ini dia menutup tirai kerjaya selama 18 tahun di mana dia telah menjaringkan lebih 400 gol. Aguero, 33, dibawa ke hospital pada 30 Oktober selepas mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika Barcelona seri 1-1 dengan Alaves. Kelab itu mengumumkan beberapa hari kemudian bahawa dia akan berehat sekurang-kurangnya tiga bulan berikutan analisis jantung sebelum doktor menasihatkannya untuk tidak bermain lagi. "Sidang akhbar ini adalah untuk memaklumkan bahawa saya telah memutuskan untuk berhenti bermain bola sepak. Ia adalah saat yang sangat sukar tetapi saya pasrah dengan keputusan yang saya buat," kata Aguero dalam satu perhimpunan di Camp Nou. "Ia adalah keputusan yang saya buat untuk menjaga kesihatan saya. Itulah yang doktor katakan kepada saya, bahawa adalah lebih baik untuk berhenti bermain. Saya membuat keputusan itu sekitar 10 hari lalu. "Saya sangat berbangga dengan kerjaya saya, ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya hanya mahu menjadi pemain profesional dan tidak pernah terfikir bahawa saya akan bermain di Eropah." Aguero berpindah ke Sepanyol sebelum musim ini selepas sedekad bersama juara Liga Perdana, Manchester City, di mana dia menjaringkan 260 gol dalam 390 penampilan untuk menjadi penjaring terbanyak kelab itu. Dia terkenal dengan gol kemenangan pada masa kecederaan sewaktu menentang Queens Park Rangers pada 2012 yang memastikan kejuaraan liga teratas pertama untuk City sejak 1968, di mana dia menambah empat lagi trofi Liga Perdana, satu Piala FA dan enam Piala Liga. Setelah mendengar tentang persaraannya, penyokong City memberi penghormatan pada hari Selasa apabila mereka melaungkan nama Aguero selepas membelasah Leeds United 7-0. Aguero turut menjaringkan 41 gol dalam 101 perlawanan untuk Argentina, mewakili mereka di tiga Piala Dunia dan membantu mereka memenangi Copa America 2021 -- gelaran utama pertama mereka dalam 28 tahun. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI