suria

Jadual EPL tak adil - Tuchel

Tuchel tidak berpuas hati dengan jadual Liga Perdana Inggeris (EPL).

WALAUPUN meraih tiga mata berharga apabila menang 3-1 ke atas Aston Villa pada Isnin, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel tetap menyifatkan jadual persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai 'tidak adil'.

Menurut Tuchel, jadual yang agak padat itu telah menyebabkan ramai pemain skuad kendaliannya mengalami kecederaan dan tidak sempat untuk pulih mengikut tempoh yang diperlukan.

Malah katanya, situasi berkenaan secara tidak langsung menyaksikan The Blues kini bergelut bagi menurunkan kesebelasan terbaik kerana lebih ramai pemain yang mengalami kecederaan.

"Bagi saya, jadual EPL kali ini tidak betul dan tidak adil buat kami, bahkan kepada semua pasukan.

"Jadual ini memaksa kami turun padang walaupun ada dalam kalangan pemain kami yang disahkan positif Covid-19 dan ini menyebabkan kecederaan baru berlaku dalam kalangan pemain kami.

"Kami tidak beraksi bagi tempoh 10 hari dan tiba-tiba perlu berdepan dengan kelab yang telah menjalani penangguhan perlawanan yang lebih lama dan sudah pasti memiliki persiapan yang lebih baik," katanya lagi.

Chelsea bakal berdepan dengan Brighton di Stamford Bridge pada Khamis (30 Disember).

Dan dengan beberapa pemainnya yang cedera, perkara tersebut amat membimbangkan Tuchel.

"Untuk makluman anda, pemain kami seperti Callum Hudson-Odoi dan Romelu Lukaku tidak beraksi ketika berdepan Wolves manakala Kai Havertz dan Timo Werner juga masih belum pulih daripada kecederaan dan terbaru Thiago Silva dan N'Golo Kante pula mengalami kecederaan ketika berdepan Aston Villa.

"Oleh itu, jelas sekali kami sedang bergelut dengan masalah ini," ujarnya.

Namun Tuchel berkata dia tetap kagum dengan usaha para pemain bagi memastikan kejayaan pasukan. - Asianewstoday

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain