POLIS yang menyiasat Cristiano Ronaldo berhubung dakwaan rogol percaya mereka mempunyai cukup bukti untuk menahannya, tetapi dihalang oleh peguam daerah. Kathryn Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya di sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2009. Ia merupakan satu dakwaan yang telah berulang kali dinafikan oleh penyerang Portugal itu dan peguamnya. Kini dokumen mahkamah mendakwa polis di Las Vegas di mana insiden dikatakan berlaku, menandatangani waran tangkap terhadap Ronaldo atas dakwaan serangan seksual. Menurut dokumen itu, Peguam Daerah Clark County Steve Wolfson didakwa menolak untuk mendakwa kes tersebut. Menerusi transkrip mahkamah yang diperoleh The Sun, peguam Mayorga, Leslie Mark Stovall berkata: "Apa yang berlaku ialah apabila (waran tangkap) itu diserahkan kepada pejabat peguam daerah (DA), Wolfson yang enggan mendakwa. "Dia tidak menyatakan mengapa dia memutuskan untuk menolak dan sebarang hujah hanyalah spekulasi. "Polis percaya bahawa mereka mempunyai kes untuk mendakwa atas satu pertuduhan serangan seksual dan DA memutuskan untuk tidak melakukannya." Minggu lalu, Ronaldo dan pasukan peguamnya membantah percubaan sebuah akhbar untuk diberikan akses kepada dokumen Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berhubung dakwaan itu. Pada 2019, polis Vegas mengesahkan Ronaldo tidak akan menghadapi pendakwaan jenayah setelah membuka semula kes mereka pada tahun sebelumnya. - Daily Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI