SATU perlawanan bola sepak di Mexico bertukar menjadi pertembungan ganas antara peminat pasukan lawan, pada Sabtu. Menurut pihak berkuasa, insiden keganasan itu mengakibatkan 22 individu cedera dengan dua daripadanya kritikal. Perlawanan Liga MX membabitkan Queretaro berdepan Atlas dihentikan selepas 63 minit gara-gara berlakunya pergaduhan membabitkan penyokong sehingga menceroboh padang di Stadium La Corregidora. Beberapa pemain kelihatan cuba menenangkan peminat sebelum mereka akhirnya ditempatkan ke bilik persalinan pasukan untuk keselamatan. Atlas mendahului 1-0 ketika perlawanan terhenti. Presiden Liga MX, Mikel Arriola berkata semua perlawanan pada Ahad ditangguhkan berikutan insiden itu. "Mereka yang bertanggungjawab kerana kurangnya kawalan keselamatan di stadium akan diambil tindakan sewajarnya," tulisnya di Twitter. Suruhanjaya tatatertib Persekutuan Bola Sepak Mexico berkata ia juga telah membuka siasatan berhubung insiden tersebut. - New York Times Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI