SEORANG pelumba basikal profesional yang sedang memecut ke garisan penamat tanpa sengaja merempuh seorang penonton yang sedang mengambil gambar. Luis Carlos Chia merempuh wanita yang cuba merakamkan detik kayuhan kemenangannya di perlumbaan berbasikal tahunan Vuelta a Colombia pada Ahad, sebelum akhirnya menyedari mangsa adalah isterinya, Claudia Roncancio. Rakaman dalam siaran langsung menunjukkan Claudia terlentang dan tidak sedarkan diri di atas konkrit di belakang garisan penamat selepas dirempuh. Manakala Luis Carlos yang terjatuh daripada basikalnya dibantu oleh penonton berhampiran untuk bangun. Kemalangan tersebut tidak menghalang Luis Carlos meneruskan usaha untuk memenangi acara berprestij itu. Claudia, yang merupakan bekas pelumba basikal sebelum bergelar seorang jurufoto segera dikejarkan ke hospital. Wanita berkenaan dilaporkan menerima jahitan di kepala dan masih berada di bawah pemantauan doktor. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI