SEKURANG-KURANGNYA 127 penyokong terbunuh dan 180 lagi cedera dalam rusuhan pada perlawanan bola sepak di Jawa Timur, Indonesia pada malam Sabtu. Ketua polis Indonesia di wilayah Jawa Timur, Nico Afinta berkata kekecohan berlaku selepas penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika perlawanan liga bola sepak negara berkenaan. Kekecohan itu berlaku selepas perlawanan antara dua pasukan Jawa Timur, Arema FC dan Persebaya Surabaya. Dalam perlawanan itu Arema FC tewas 3-2 ke atas Persebaya Surabaya. Susulan itu penyokong kelab Arema yang tumpas dalam perlawanan berkenaan masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata sekali gus mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlakunya kes sesak nafas, kata Nico Afinta kepada wartawan. Dalam pada itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sedang menyiasat rusuhan yang berlaku selepas perlawanan di daerah Malang malam tadi, apabila media melaporkan adanya kematian dan kecederaan penyokong semasa kejadian itu. PSSI dalam kenyataannya berkata juga menangguhkan saingan liga berkenaan selama seminggu. - CBNC Indonesia Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI