PULUHAN mayat insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Jawa Timur masih belum dikenal pasti oleh waris, selepas lebih 24 jam tragedi itu berlaku Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jabatan Kesihatan Malang, Dr. Wiyanto Wijoyo yang ditemui wartawan di Hospital Wava Husada Kepanjen. Langkah pertama Perkhidmatan Kesihatan selepas kejadian malam Sabtu itu adalah merujuk pesakit kritikal ke beberapa hospital. Dua daripadanya adalah Hospital Kanjuruhan Kepanjen dan Hospital Saiful Anwar Malang. "Kebanyakannya sudah diuruskan, hanya tinggal mayat yang belum diuruskan kerana identiti dan keluarganya belum diketahui," kata Wiyanto. Wiyanto menambah, bilik jenazah di Rumah Mayat Hospital Kanjuruhan juga penuh di mana ia hanya mampu menampung 20 mayat. Wiyanto juga menyeru waris yang sedang mencari ahli keluarga yang terlibat dalam insiden ini untuk ke Hospital Saiful Anwar atau ke RSUD Kanjuruhan. "Kami akan menubuhkan pusat panggilan untuk membantu masyarakat," tambahnya. Dilaporkan angka korban tragedi tersebut sehingga kini berjumlah 125 orang. - Malang Post Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI