JAWATANKUASA Disiplin Fifa memulakan siasatan disiplin pertama pada Piala Dunia 2022 dengan Ecuador berdepan denda berikutan tindakan penyokong mereka. Menurut laporan, laungan diskriminasi didakwa dinyanyikan oleh peminat negara itu pada perlawanan saingan Kumpulan A berdepan Qatar. Sorakan daripada sebahagian penyokong Ecuador ketika menang 2-0 ke atas Qatar dilaporkan ditujukan kepada Chile. Ini kerana Chile menuduh pemain pertahanan Ecuador, Byron Castillo dengan mengatakannya warga Colombia dan memalsukan umurnya. Pada Jun, Fifa menetapkan Castillo, 23, dibenarkan beraksi untuk skuad bola sepak kebangsaan Ecuador, menyebabkan Chile mengemukakan bantahan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung keputusan itu. Tindakan penyokong Ecuador itu menyebabkan negara tersebut berpotensi dikenakan hukuman kerana melanggar artikel 13 mengikut kod disiplin Fifa yang boleh menyebabkan mereka dikenakan hukuman beraksi dalam perlawanan tertutup atau dilarang beraksi di venue tertentu. - Talksport.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI