BINTANG Manchester United, Bruno Fernandes hadir pada sidang media menjelang aksi Portugal menentang Ghana di Piala Dunia 2022 pada Khamis. Bagaimanapun, Fernandes lebih banyak ditanya tentang rakan sepasukannya di United dan Portugal, Cristiano Ronaldo. Menerusi sidang media itu, dapat dilihat tidak banyak pertanyaan diajukan berhubung perlawanan menentang Ghana, sebaliknya Fernandes banyak ditanya tentang Ronaldo yang baru saja meninggalkan United. Bekas pemain Sporting Lisbon itu ditanya apakah Ronaldo ada meminta pendapatnya berhubung situasinya dalam kelab itu. Respons pertama yang ditunjukkan oleh Fernandes ketika ditanya mengenai perkara itu adalah hanya dengan tersenyum. "Semuanya baik untuk saya sehingga akhir. Sekarang Cristiano telah mengambil keputusan berbeza untuk kerjaya dan keluarganya serta kami perlu menghormatinya. "Saya tidak membincangkan hal itu dengan Cristiano. Kami semua memberi tumpuan kepada pasukan kebangsaan dan Piala Dunia. "Saya rasa tidak selesa. Saya tak perlu memilih satu pihak. Bermain dengan Cristiano (di United) adalah impian yang menjadi kenyataan tetapi tiada yang kekal selamanya. "Kami tahu apa makna Piala Dunia kepada Cristiano dan tumpuannya sentiasa ada. Dia tidak memberitahu saya tentang keputusannya. Ia adalah keputusan peribadi dan ia melibatkan dia dan keluarganya. Kami tidak bercakap mengenainya. Semua orang di sini fokus pada gol, pasukan kebangsaan dan Piala Dunia," katanya. Fernandes turut menegaskan bahawa apa yang berlaku ke atas Ronaldo tidak akan mempengaruhi pasukan kebangsaan Portugal di Piala Dunia 2022. "Saya fikir keputusannya tidak akan mempengaruhi pasukan. Kami benar-benar fokus untuk memperkukuhkan Portugal dan Piala Dunia ini," tambahnya. Selain itu Fernandes juga yakin Ghana tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukannya untuk menang. Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu di Piala Dunia pada 2014 dan Portugal menang 2-1. Ketika itu Ronaldo turut menyumbangkan satu gol. "Ghana akan membuatkan kami rasa susah. Ini perlawanan pembukaan pasti bakal berlangsung sengit. "Saya tidak melihat ada impak dari keputusan Ronaldo yang akan mempengaruhi kami," kata Fernandes. -ME News Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI